Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15

Keberangkatan tiba

Permulaan istiadat ditandai oleh keberangkatan tiba Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada jam 9 pagi. Istiadat Pecah Bendera dilaksanakan iaitu bendera peribadi dipecah dan dikibarkan menandakan keberangkatan tiba baginda di istana tersebut. Berikut merupakan senarai keberangkatan

  1. YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
  2. YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak & isteri YABhg. Datin Seri Rosmah Mansor
  3. TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin & isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Norlidah RM Jasni
  4. TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Abbas & isteri, YABhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff
  5. TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob & isteri, YABhg. Toh Puan Datuk Seri Utama Zurina Kassim
  6. TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud & isteri, YABhg. Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Waleed Alkurdi
  7. DYTM Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah & DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha Binti Tengku Ariff
  8. DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail dan isteri, YM Che Puan Khaleeda Bustaman
  9. YMM Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra
  10. KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah & KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
  11. DYTM Pengiran Muda Mahkota Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Haji Al-Muhtadee Billah
  12. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Dr. Nazrin Muizuddin Shah & DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Davidson
  13. DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz & DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani
  14. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj & DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin
  15. DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
  16. KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah & KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah
  17. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V

Barisan tetamu diraja dibawa masuk ke Dewan Seri Maharaja Istana Negara manakala barisan tetamu dari kalangan pimpinan kerajaan dibawa masuk ke Dewan Seri Mahkota Istana Negara. Berbeza dengan istiadat pertabalan yang terdahulu, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja akan berangkat masuk ke Balairong Seri bersama-sama dari Dewan Seri Maharaja.

Yang di-Pertuan Agong berangkat tiba di Istana Negara pada jam 9:57 pagi waktu Malaysia dan disambut iringan tiupan Pancaragam Pusat Rejimen Diraja iaitu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sambil membawakan Panji Diraja dan Panji Rejimen Askar Melayu Diraja. Lagu "Negaraku" dimainkan di Dataran Utama Istana Negara sebelum kawalan kehormatan utama disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda dan hormat diraja disempurnakan selepas itu.

Selepas keberangkatan masuk Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama bersama pasangan masing-masing, Yang di-Pertuan Agong berangkat masuk ke Balairong Seri dengan iringan lagu "Raja Berangkat" oleh Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan.

Istiadat bermula

Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral (B) Dato' Mamat Ariffin Bin Hj Abdullah, menghadap dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan istiadat pertabalan.

Membawa masuk al-Quranul Karim dan alat-alat kebesaran istiadat pertabalan ke Balairong Seri dengan diiringi gendang dipalu lagu menjunjung duli "Seri Istana". Datuk Penghulu Istiadat mempersembahkan al-Quranul Karim kepada Datuk Paduka Maharaja Lela lalu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong lalu mencium dan meletakkannya di rehal di sisi kanan baginda.

Kemudian, Datuk Paduka Maharaja Lela membawa mengadap Perdana Menteri untuk membaca surat pengisytiharan pertabalan. Selepas itu, Keris Panjang Diraja atau Keris Kerajaan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda lalu dihunus dan dicium oleh baginda sebelum disarung kembali dan diletakkan di sisi kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian mempersembahkan Warkah Ikrar. Semua hadirin di istana berdiri dan baginda melafazkan ikrar tersebut dan disambut oleh lagu "Raja Bertabal". Kemudian, laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali dilaungkan dan nyanyian lagu Negaraku dikumandangkan dan tembakan meriam 21 das dilepaskan. Lalu, Datuk Paduka Maharajalela membawa mengadap Perdana Menteri untuk mempersembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia. Selepas itu, Warkah Titah Diraja dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dizahirkan baginda.

Berikutan itu, Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yakob, membacakan Doa Selamat. Selepas menghadap dan memohon perkenan baginda, Datuk Paduka Maharaja Lela menerima kembali al-Quranul Karim dari singgahsana dan diserahkan semula kepada Datuk Penghulu Istiadat. Selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela memaklumkan bahawa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV selamat disempurnakan. Dengan berakhirnya istiadat tersebut, Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Balairong Seri denga iringan lagu "Raja Berangkat" dan disambung oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama ke Dewan Seri Mahkota untuk sesi bergambar.

Majlis Santapan Diraja

Majlis Santapan Diraja sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong XV turut diadakan pada sebelah malam hari yang sama bagi meraikan upacara istimewa itu bersama tetamu-tetamu diraja dan kehormat. Selain Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, majlis santapan itu turut dihadiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah. Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Andre Goh yang diiringi Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Seri Paduka dan para hadirin turut menyaksikan persembahan dikir barat yang diterajui Halim Yazid serta tarian kebudayaan anak-anak Permata Seni dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).[3]